Pages

Wednesday, June 23, 2010

Bentuk Muka Bumi Sepanjang Aliran Sungai

Sistem sungai dibahagikan kepada peringkat hulu, peringkat tengah, dan peringkat hilir. Peringkat hulu sungai terletak di kawasan pergunungan. Sungainya mengalir deras menuruni cerun yang curam. Oleh itu, sungai di peringkat hulu mempunyai kuasa menghakis yang giat. Bentuk muka bumi di peringkat ini termasuk jeram, air terjun, dan gaung.
Sungai mengalir sederhana deras di peringkat tengahnya. Maka, tindakan hakisan melebar lebih pesat. Bentuk muka bumi di peringkat tengah termasuk susuh bukit berpanca dan liku sungai. Hakisan sungai berkurangan di peringkat hilir. Proses pemendapan sungai lebih aktif dan berkesan di peringkat hilir. Bentuk muka bumi di peringkat ini ialah liku sungai yang besar, tasik ladam, dataran banjir, tetambak, dan delta.

Saliran di Malaysia


Malaysia mempunyai banyak sungai kerana menerima hujan lebat sepanjang tahun. Kebanyakan sungai di Semenanjung Malaysia berpunca dari Banjaran Titiwangsa. Sungai-sungai ini mengalir ke Laut China Selatan dan Selat Melaka. Di Sabah dan Sarawak, sungai-sungainya berpunca dari banjaran gunung di pedalaman. Sungai-sungai ini pula mengalir ke Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Umumnya sungai-sungai di Malaysia adalah deras alirannya di peringkat hulu, manakala di peringkat hilir sungai, alirannya perlahan. Sungai-sungai membawa kelodak. Kelodak yang dimendapkan di kualanya membentuk dataran yang luas.
Malaysia dikurniai dengan tasik semula jadi seperti Tasik Bera dan Tasik Chini. Terdapat juga tasik buatan manusia seperti Tasik Kenyir untuk menjana kuasa hidroelektrik, Tasik Chenderoh sebagai sumber ikan air tawar, dan Tasik Perdana yang menjadi tarikan pelancong.

Pola Saliran

Sistem saliran terdiri daripada aliran sungai utama dan beberapa cawangannya. Kawasan yang disaliri oleh sungai utama dan cawangannya dinamakan lembangan sungai. Cara cawangan sungai dan sungai utama dijalin antara satu dengan lain dikenal sebagai pola saliran. Terdapat beberapa pola saliran, iaitu pola reranting, jejala, selari, gegelang, dan jejari.

(a) Pola saliran reranting

~ Berbentuk seperti ranting pokok.
~ Cawangan-cawangan sungai bercantum dengan sungai utama pada sudut kurang dari sudut
tepat.
~ Terdapat di kawasan yang mempunyai batuan yang sama kekerasan.
~ Contoh : Sungai Pahang, Sungai Kelantan.

(b) Pola saliran jejala

~ Terdapat di kawasan yang mempunyai lapisan batuan keras dan batuan lembut secara
berselang-seli.
~ Anak-anak sungai mengalir dan menghakis lapisan batuan lembut.
~ Cawangan-cawangan sungai memasuki sungai utama pada sudut tepat, iaitu 90 darjah.
~ Contoh : Sungai Perak.

(c) Pola saliran selari

~ Cawangan-cawangan sungai dan sungai utama mengalir secara selari atau hampir selari
antara satu sama lain.
~ Terdapat di cerun curam.
~ Contoh : Sungai Kinabatangan.

(d) Pola saliran gegelang

~ Cawangan-cawangan sungai mengalir menurun dari puncak gunung dan bercantum dengan
sungai utama di kawasan tanah rendah.
~ Anak-anak sungai yang baru pula akan memasuki cawangan-cawangan sungai.

(e) Pola saliran jejari

~ Berbentuk seperti jejari roda.
~ Cawangan-cawangan sungai mengalir turun menghala ke semua arah dari kemuncak sebuah
bukit atau gunung.
~ Cawangan-cawangan sungai bercantum dengan sungai utama di kawasan rendah.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Pentas benua


Ciri
~ Bahagian dasar laut yang cetek lanjutan dari pinggir laut.
~ Kedalaman tidak melebihi 180 meter.

Kepentingan
~ Kawasan perikanan.
~ Kawasan perlombongan petroleum dan gas asli.

Contoh kawasan
~ Kawasan pinggir laut di pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.
~ Merangkumi Laut China Selatan.



Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Tebing tinggi


Ciri
~ Condong sama ada ke laut atau ke dataran.
~ Bercerun curam.
~ Batuan keras.

Kepentingan
~ Kawasan rekreasi dan pelancongan.
~ Tapak rumah api.

Contoh kawasan
~ Tebing Tinggi Kudat, Sabah.
~ Tebing Tinggi Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Teluk


Ciri
~ Kawasan air antara dua tanjung.
~ Menganjur masuk ke daratan.
~ Terlindung daripada tiupan angin dan ombak.

Kepentingan
~ Petempatan nelayan.
~ Tapak pelabuhan.
~ Kawasan perikanan.
~ Kawasan perkelahan.

Contoh kawasan
~ Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
~ Teluk Ramunia, Johor.
~ Teluk Kimanis, Sabah.
~ Teluk Darvel, Sabah.
~ Teluk Mahkota, Pahang.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Tanjung


Ciri
~ Merupakan daratan yang menganjur ke laut.
~ Terdiri daripada lapisan batuan keras yang tahan hakisan.

Kepentingan
~ Kawasan rekreasi dan pelancongan.

Contoh kawasan
~ Tanjung Bidara, Melaka.
~ Tanjung Dawai, Kedah.
~ Tanjung Datu, Sarawak.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Pulau


Ciri
~ Sebuah daratan dikelilingi oleh laut.
~ Pulau di laut wujud akibat kenaikan dan kejatuhan aras laut.

Kepentingan
~ Kawasan pelancongan.
~ Pelabuhan perikanan.
~ Pelabuhan antarabangsa

Contoh kawasan
~ Pulau Langkawi, Kedah.
~ Pulau Tioman, Pahang,
~ Pulau Redang, Terengganu.
~ Pulau Gaya, Sabah.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Pantai berlumpur


Ciri
~ Kawasan pinggir laut yang dilanda oleh air laut.
~ Ditumbuhi pokok bakau

Kepentingan
~ Membekalkan sumber kayu bakau.
~ Tempat pembiakan hidupan laut seperti ketam, kerang, dan ikan.

Contoh kawasan
~ Sekitar muara Sungai Perak, Perak.
~ Muara Sungai Rajang, Sarawak.

Bentuk Muka Bumi Malaysia ~ Pantai berpasir


Ciri
~ Timbuhan pasir dan batu kelikir di sepanjang kawasan pinggir laut.
~ Mempunyai permatang pasir yang panjang, indah, dan bersih.

Kepentingan
~ Kawasan pelancongan dan perkelahan.
~ Kawasan penanaman kelapa.

Contoh kawasan
~ Port Dickson, Negeri Sembilan.
~ Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.
~ Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Pinggir Laut

Negara kita mempunyai kawasan pinggir laut yang indah dan menarik. Kawasan pinggir laut negara kita tidak lurus tetapi panjang dan mempunyai pelbagai bentuk muka bumi seperti tebing tinggi, tanjung, teluk, pantai, pulau, dan pentas benua.
Panjang pinggir laut Malaysia ialah kira-kira 4 800 kilometer. Semua negeri di negara kita mempunyai kawasan pinggir laut, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.




Foto pinggir laut bersama 'rumah api'

Kepentingan Kawasan Tanah Pamah dan Dataran di Malaysia...

-Merupakan kawasan tumpuan penduduk dan petempatan kerana kebanyakan kegiatan ekonomi tertumpu di tanah pamah.(Contoh : Sekitar Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu. )
-Kaya dengan sumber mineral seperti bijih timah yang menggalakkan kegiatan perlombongan. (Contoh : Lembah Kinta, Kuala Lumpur. )
-Kawasan tumpuan jalan kereta api dan jalan raya kerana kos pembinaan yang lebih murah. (Contoh : Kuala Lumpur, Tumpat, Johor Bahru. )
-Sesuai dimajukan sebagai tapak perindustrian. (Contoh : Lembah Klang, Perai, Sandakan, Bintulu, Likas. )
-Memajukan kawasan pertanian yang utama : Penanaman padi kerana terdapat tanih aluvium yang subur. (Contoh : Dataran Kedah-Perlis, Dataran Kelantan, Delta Rajang. )
: Penanaman getah dan kelapa sawit di kawasan yang bertanih laterit dan bersaliran baik. (Contoh : Dataran Johor. )

Tanah Pamah...

Walaupun negara kita bergunung-ganang, tetapi masih mempunyai kawasan tanah pamah yang luas. Kawasan tanah pamah negara kita terdiri daripada lembanagan sungai, delta, dan dataran pantai.
Lembangan sungai adalah kawasan yang disaliri oleh sebatang sungai serta cawangan-cawangannya.Kawasan tanah pamah adalah kawasan kurang daripada 180 meter tingginya di lembah sungai yang disempandani oleh kawasan tanah tinggi.Dataran adalah kawasan rendah yang lebih luas, biasanya rata, dan kurang daripada 15 meter. Umumnya, dataran adalah sempit kerana banjaran gunung menganjur berhampiran dengan pantai.
Kawasan tanah pamah dan dataran yang ditimbuni dengan tanih aluvium yang subur sesuai untuk kegiatan pertanian seperti di Dataran Kelantan dan Delta Rajang.

Gunung lipat tua...

-Terbentuk kira-kira 250 hingga 600 juta tahun dahulu.
-Kawasan yang stabil.
-Proses penggondolan yang giat menyebabkan gunung menjadi lebih rendah dan gondol.
-Contoh: Banjaran Appalachian, Banjaran Ural, Banjaran Titiwangsa.

Gunung lipat muda...

-Terbentuk kira-kira 35 juta tahun dahulu.
-Tinggi, kasap, dan tidak stabil.
-Masih mengalami letusan gunung berapi dan gempa bumi.
-Contoh:Banjaran Rocky, Banjaran Andes, dan Banjaran Himalaya.

Sistem Gunung Rapat...

Banjaran gunung negara kita adalah sebahagian daripada sstem Banjaran Gunung Asia, iaitu bermula dari Pusaran Pamir di utara India.Umumnya, banjaran gunung negara kita menganjur dari Dataran Tinggi Yunnan di negara China dan menganjur ke selatan merentasi Thailand dan kemudian ke Semenanjung Malaysia lalu membentuk Banjaran Titiwangsa dan banjaran-banjaran lain.Banjaran-banjaran gunung di Asia terdiri daripada gunung lipat.
Pergerakan kerak bumi secara besar-besaran akibat kuasa mampatan menyebabkan kerak bumi berlipat.Lapisan kerak bumi yang melengkung ke atas membentuk gunung lipat.
Banjaran gunung negara kita terletak di kawasan yang stabil dan bebas daripada kegiatan gunung berapi dan gempa bumi. Kita harus bersyukur kerana Malaysia bebas daripada kejadian gunung berapi dan gempa bumi.

Banjaran Tama Abu...

imgres.jpg

-Banjaran yang utama di negeri Sarawak.
-Gunung Murud (2425 m) merupakan kemuncak yang tertinggi di Sarawak.

Banjaran Crocker...


-Banjaran gunung terbesar dan tertinggi di Malaysia.
-Menganjur dari timur laut ke barat daya Sabah.
-Kemuncak tertingginya ialah Gunung Kinabalu (4101 m) , gunung yang tertinggi di negara kota dan di Asia Tenggara.
-Taman Negara Crocker dan Taman Negara Kinabalu terletak di sini.

Banjaran Tahan...

280012063SPamSU_ph.jpg

-Terletak di bahagian timur Banjaran Titiwangsa.
-Banjaran yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.
-Kemuncak tertingginya ialah Gunung Tahan (2187 m) ,gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.
-Taman Negara terletak di sini.

Banjaran Bintang...

imgres.jpg


-Terletak di sebelah barat Banjaran Titiwangsa.
-Menganjur dari selatan Thailand dan merentasi Perak.
-Gunung Bintang (1862 m) merupakan kemuncak yang tertinggi.
-Bukit Larut, sebuah tempat perangingan yang terkenal terletak di banjaran ini.
-Menjadi legeh sungai antara Sungai Perak dengan Sungai Kinta.

Banjaran Titiwangsa...

imgres.jpg

- Merupakan tulang belakang bagi Semenanjung Malaysia.
- Banjaran yang terpanjang di Malaysia.
- Panjangnya kira-kira 480 km dan tingginya antara 900 meter hingga 2100 meter dari aras laut.
- Dikenal sebagai Banjaran Besar.
- Gunung Korbu (2182 m) merupakan kemuncak tertinggi.
- Mempunyai tiga pusat peranginan yang utama, iaitu Tanah Tinggi Genting, Tanah Tinggi Cameron, dan Bukit Fraser.
- Menjadi legeh dan kawasan tadahan bagi sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia.


Tanah Tinggi

Lebih 60 peratus daripada muka bumi negara kita terdiri daripada tanah tinggi yang melebihi 180 meter dari aras laut. Kawasan tanah tinggi terletak di bahagian tengah Semenanjung Malaysia serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

Bentuk Muka Bumi Malaysia...

Negara kita terdiri daripada kawasan tanah tinggi, kawasan tanah pamah, dataran, lembangan, serta pinggir laut. Kawasan tanah pamah di negara kita terletak di antara kawasan pinggir laut dengan kawasan tanah tinggi.
Malaysia mempunyai bentuk muka bumi yang indah dan menarik. Kita sebagai rakyat Malaysia harus bersyukur dan bertanggungjawab memelihara keindahan alam semula jadinya.



Kawasan Tanah Tinggi



Kawasan Tanah Pamah



Dataran



Lembangan



Pinggir Laut

Kedudukan Malaysia...



Kedudukan Malaysia terletak berhampiran dengan Garisan Khatulistiwa. Keluasan Malaysia adalah kira-kira 329733 km persegi.Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dan tiga buah wilayah persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Labuan, dan Putrajaya.
Malaysia mempunyai kedudukan geografi yang strategik. Sejak dahulu lagi, negara kita menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang dari Tanah Arab, China, dan India kerana kedudukannya di tengah-tengah jalan laut antara timur dengan barat. Di samping itu,negara kita juga terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan laluan angin taufan menyebabkannya bebas daripada gempa bumi, letusan gunung berapi, dan tiupan angin taufan.